Komitmen terhadap Kedaulatan Undang-undang
Semua rakyat Australia dilindungi oleh undang-undang dan sistem perundangan kita. Rakyat Australia mengiktiraf kepentingan undang-undang dalam mengekalkan masyarakat yang aman dan teratur.
Di bawah Kedaulatan Undang-undang, semua rakyat Australia adalah sama di sisi undang-undang dan tiada orang atau kumpulan yang mengatasi undang-undang. Di Australia, semua orang mesti mematuhi undang-undang dan tidak melanggarnya pada bila-bila masa, jika tidak, anda akan menghadapi penalti. Anda harus mematuhi undang-undang walaupun tiada siapa yang memerhati.
Undang-undang Australia terpakai kepada semua orang di Australia. Ini bermakna tanpa mengira latar belakang atau budaya anda, anda mesti mematuhi undang-undang Australia.
Demokrasi berparlimen
Sistem kerajaan Australia adalah demokrasi berparlimen. Undang-undang kita ditentukan oleh parlimen yang dipilih oleh rakyat. Ini bermakna warganegara Australia terlibat dalam cara negara ditadbir. Kuasa kerajaan datang daripada rakyat Australia kerana warganegara Australia mengundi orang untuk mewakili mereka di parlimen.
Mengundi adalah wajib di Australia. Ini menunjukkan kepentingan menyertai pilihan raya.
Kebebasan bersuara
Rakyat di Australia seharusnya dapat menyatakan idea mereka secara bebas, selagi ia berada dalam lingkungan undang-undang. Di Australia, rakyat bebas bertemu di tempat awam atau persendirian untuk perbincangan sosial atau politik. Rakyat juga bebas untuk berkata dan menulis apa yang mereka fikirkan mengenai sebarang topik dan membincangkan idea mereka dengan orang lain. Akhbar, televisyen dan saluran radio mempunyai kebebasan yang sama.
Rakyat Australia dibenarkan untuk membantah secara aman terhadap tindakan kerajaan, kerana toleransi terhadap bantahan awam secara aman adalah bahagian penting dalam demokrasi.
Adalah tidak boleh diterima sama sekali untuk mempromosikan keganasan terhadap orang lain atau kumpulan orang (seperti kerana budaya, etnik, agama atau latar belakang mereka) kerana ia bertentangan dengan nilai dan undang-undang Australia. Adalah juga haram untuk membuat tuduhan palsu atau menggalakkan orang lain melanggar undang-undang. Kebebasan bersuara dan kebebasan ekspresi orang lain mesti dihormati, selagi ekspresi tersebut sah di sisi undang-undang.
Kebebasan berpersatuan
Di Australia, rakyat bebas menyertai atau meninggalkan mana-mana kumpulan secara sukarela selagi ia berada dalam lingkungan undang-undang. Rakyat bebas menyertai mana-mana organisasi yang sah, seperti parti politik, kesatuan sekerja, kumpulan agama, budaya atau sosial. Individu tidak boleh dipaksa menyertai organisasi atau dipaksa meninggalkannya.
Rakyat Australia boleh berkumpul secara bebas dengan orang lain, termasuk untuk membantah tindakan kerajaan atau organisasi. Walau bagaimanapun, semua bantahan mesti berada dalam lingkungan undang-undang. Ini bermakna ia mesti aman, dan tidak boleh mencederakan mana-mana orang atau merosakkan harta benda.
Kebebasan beragama
Australia tidak mempunyai agama kebangsaan rasmi dan rakyat di Australia bebas menganut mana-mana agama yang mereka pilih. Kerajaan melayan semua warganegara secara sama rata, walau apa pun agama atau kepercayaan mereka. Walau bagaimanapun, amalan keagamaan tidak boleh melanggar undang-undang Australia. Undang-undang agama tidak mempunyai status undang-undang di Australia. Undang-undang Australia mesti dipatuhi oleh semua orang di Australia, termasuk di mana ia berbeza daripada undang-undang agama. Sesetengah amalan agama atau budaya, seperti poligami (berkahwin dengan lebih daripada seorang pada masa yang sama) dan perkahwinan paksa, adalah menyalahi undang-undang di Australia dan boleh mengakibatkan penalti undang-undang yang berat, termasuk pemenjaraan. Sikap tidak bertoleransi terhadap agama tidak diterima dalam masyarakat Australia. Semua orang harus diberi peluang yang sama untuk mengejar matlamat dan minat mereka tanpa mengira etnik atau agama selagi mereka mematuhi undang-undang Australia.
Kesaksamaan semua orang di bawah undang-undang
Masyarakat Australia menghargai hak kesaksamaan semua orang, tanpa mengira jantina, orientasi seksual, umur, hilang upaya, agama, bangsa, atau asal usul kebangsaan atau etnik. Terdapat beberapa undang-undang di Australia yang melindungi seseorang daripada dilayan secara berbeza daripada yang lain.
Undang-undang diguna pakai di Australia supaya orang dari latar belakang yang berbeza tidak diberi layanan istimewa, atau didiskriminasi. Contohnya, penganut Buddha dan penganut semua agama lain menerima layanan yang sama seperti penganut Kristian. Di bawah undang-undang kita, dua orang boleh berkahwin antara satu sama lain, termasuk perkahwinan antara dua lelaki atau dua wanita.
Lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama di Australia dan harus diberi kesaksamaan peluang untuk mengejar matlamat dan minat mereka. Kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai akses yang sama kepada pendidikan dan pekerjaan, boleh mengundi dalam pilihan raya, bertanding untuk parlimen, menyertai Angkatan Pertahanan Australia dan pasukan polis, serta dilayan secara sama rata di mahkamah undang-undang.
Adalah menyalahi undang-undang untuk mendiskriminasi seseorang kerana jantinanya. Di Australia, adalah hak bagi seorang wanita untuk mendapatkan pekerjaan mendahului seorang lelaki, jika dia mempunyai kelayakan dan kemahiran yang lebih baik.
Kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai hak untuk membuat pilihan bebas mereka sendiri mengenai perkara peribadi, seperti perkahwinan dan agama, dan dilindungi oleh undang-undang daripada ugutan atau keganasan. Keganasan fizikal terhadap pasangan atau rakan kongsi tidak boleh diterima sama sekali dan ia adalah kesalahan jenayah di Australia.
Penceraian diterima di Australia. Sama ada suami atau isteri boleh memohon penceraian kepada mahkamah, walaupun pasangan yang lain ingin meneruskan perkahwinan.
Kesaksamaan peluang dan ‘fair go’ (peluang adil)
Kami percaya bahawa semua orang berhak mendapat ‘fair go’ dan orang ramai tidak seharusnya dihadkan oleh sebarang bentuk perbezaan kelas. Semua orang, tanpa mengira latar belakang mereka, diberi peluang yang sama untuk mencapai kejayaan dalam hidup, dan memastikan bahawa semua orang mempunyai hak undang-undang yang sama adalah aspek penting keadilan dalam masyarakat Australia.
Apa yang dicapai oleh seseorang dalam hidup seharusnya hasil daripada kerja keras dan bakat mereka. Ini bermakna seseorang harus mendapat pekerjaan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka, bukan kerana jantina, kekayaan atau etnik mereka.
Apabila sesebuah organisasi perlu mengisi jawatan kosong, undang-undang menyokong agar mereka memilih orang yang mempunyai kemahiran dan pengalaman terbaik untuk jawatan tersebut.
Ramai pendatang baru di Australia telah menjadi pemimpin dalam perniagaan, profesion mereka, seni, perkhidmatan awam dan sukan melalui kerja keras dan daya usaha mereka.
Saling menghormati dan bertoleransi terhadap orang lain
Di Australia, individu mesti menghormati kebebasan dan maruah orang lain, serta pendapat dan pilihan mereka. Adalah menyalahi undang-undang untuk melakukan keganasan terhadap orang lain. Keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk penderaan lisan dan fizikal, adalah haram. Rakyat Australia percaya kepada perselisihan secara aman dan di atas segalanya, hak untuk selamat dan bebas daripada keganasan dan ugutan. Di Australia, terdapat undang-undang yang sangat ketat mengenai umur persetujuan seksual, iaitu 16 atau 17 tahun bergantung pada negeri atau wilayah tempat anda tinggal. Contohnya, di Australia, seorang lelaki berumur 20 tahun tidak boleh melakukan hubungan seksual dengan seorang gadis berumur 14 tahun, kerana itu menyalahi undang-undang di semua negeri dan wilayah Australia.
Di Australia, tindakan polis yang sah di sisi undang-undang harus disokong. Anda harus mematuhi permintaan polis yang sah, kerana semua rakyat Australia komited untuk mematuhi undang-undang.
Australia menghargai prinsip saling menghormati dan toleransi. Ini bermakna mendengar orang lain dan menghormati pandangan serta pendapat mereka, walaupun berbeza daripada pandangan anda sendiri. Orang ramai harus bertoleransi antara satu sama lain apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak bersetuju.
Rasisme tiada tempat di Australia. Ini termasuk mencipta atau berkongsi bahan yang menyinggung perasaan kaum di internet atau penerbitan lain dan membuat komen yang bersifat perkauman di tempat awam atau di acara sukan.